Tauk Sik Kitak????
KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak yang sedang menyediakan UMNO
dan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) untuk menghadapi ujian getir
Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) mengingatkan rakyat supaya tidak menjadikan
peti undi sebagai medan uji kaji.
Menurut beliau, tindakan menukar kerajaan hanya sekadar untuk uji kaji
tanpa melalui penilaian yang betul, teliti dan kritikal sebenarnya amat
berbahaya.
Presiden UMNO itu yang juga Perdana Menteri berkata, perbuatan itu sama
seperti "mengamanahkan tikus untuk membaiki labu atau mempercayai serigala
menjaga biri-biri."
"Kita sering mendengar pendapat yang mengatakan, apa salahnya
memberi peluang kepada pembangkang menang bagi dinilai kemampuan dan keupayaan
mereka mengurus negara.
"Namun, ini satu risiko yang amat tinggi kerana masa depan negara
dan keluarga kita terlalu berharga untuk dijadikan bahan uji kaji," kata
Najib ketika menyampaikan ucapan dasar bertajuk 'Kepimpinan Transformatif
Menuju Wawasan Nasional' pada Perhimpunan Agung UMNO 2012 di Pusat Dagangan
Dunia Putra di sini semalam.
Beliau memberitahu, perhimpunan kali ini adalah yang terakhir sebelum
PRU-13 kerana berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, jika Dewan Rakyat tidak
dibubar oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri, ia akan bubar
dengan sendirinya pada waktu tempoh mandat kerajaan sedia ada tamat pada 28
April 2013.
Najib menegaskan, rakyat berhak mengetahui tipu muslihat pembangkang
sebelum membuang undi.
Katanya, lima tahun adalah satu tempoh yang lama dalam pentadbiran
sesebuah kerajaan dan pelbagai bentuk kerosakan boleh berlaku.
Beliau menegaskan, UMNO tidak akan membiarkan Malaysia hancur disebabkan
janji-janji bohong pembangkang.
"Jika kita kehilangan harta, ia boleh dicari ganti. Jika kita
kehilangan darjat kedudukan, ia dapat dipulih semula, tetapi jika kita
kecundang dalam perjuangan ini, kita sudah tidak punya apa-apa lagi. Kita akan
melukut di tepi gantang, akhirnya terbangsat dan merempat di tanah
sendiri," katanya.
Najib kemudian dengan rendah diri berkata, tidak wujud individu,
pemimpin, organisasi atau parti yang tidak pernah melakukan kesalahan dan untuk
itu, sebagai kepimpinan parti dan kerajaan, UMNO menyusun memohon maaf atas
kekhilafan.
"Saya selaku Presiden UMNO bersama Timbalan Presiden serta seluruh
saf kepimpinan parti bersumpah dengan nama Allah, berikrar dan berjanji terus
mendahulukan kesejahteraan rakyat, terus memartabat rumpun Melayu, terus
membenteng akidah umat dan terus memelihara agama Islam," kata beliau
dengan disambut laungan semangat para perwakilan yang bangun dari tempat duduk.
Sejurus keluar dari Dewan Merdeka, Najib terus memperkenalkan buku hasil
karyanya yang memperincikan kewajaran program transformasi kerajaan.
Buku setebal 249 muka surat itu yang
bertajuk Transformasi Politik: Mendaulatkan Hak Asasi serta Demokrasi
Pemerintahan Rakyat untuk Rakyat diterbitkan oleh Institut Terjemahan
dan Buku Malaysia (ITMB).
Ia dijual pada harga RM32 di Semenanjung dan RM37 di Sabah dan Sarawak.
Source- Kosmo Online
No comments:
Post a Comment