KUCHING: Kira-kira 10,000 peluang pekerjaan ditawarkan pada Pameran
Latihan dan Kerjaya Sarawak (SCaT Fair) 2012 yang akan berlangsung selama dua
hari pada 10 dan 11 Disember depan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).
Pameran kerjaya terbesar pertama seumpamanya itu melibatkan 350 agensi
yang terdiri daripada 130 institusi latihan kemahiran dari Sarawak dan
Semenanjung Malaysia, 100 syarikat dan 20 agensi penyedia bantuan kewangan.
Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Promosi Pendidikan Teknikal) Datu
Len Talif Salleh berkata, SCaT Fair merupakan susulan daripada pelancaran
Tabung Ekonomi Gagasan Anak Bumiputera Sarawak (TEGAS), Februari lepas.
Bakal dirasmikan oleh Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada 10
Disember ini, SCaT Fair merupakan platform terbaik untuk para pelajar lepasan
sekolah dan ibu bapa mengetahui peluang-peluang pendidikan, pekerjaan dan
bantuan kewangan yang ditawarkan.
“Sejak pelancaran Februari lepas, TEGAS telah memberi khidmat kepada
kira-kira 52,000 pelajar dari segi peluang-peluang pendidikan, bantuan kewangan
dan peluang pekerjaan yang ditawarkan.
“Justeru semua belia dijemput untuk datang ke BCCK pada 10-11 Disember
ini kerana banyak pengetahuan dan pengalaman yang akan mereka dapati.
“Selain mencari pekerjaan, mereka juga dapat merancang untuk
meningkatkan kapasiti diri masing-masing dengan cara mendaftar dengan institusi
kemahiran supaya mereka dapat menyumbang sebagai pekerja mahir dalam
pembangunan SCORE,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai SCaT Fair 2012 di
Tingkat 3, Bangunan Wisma Sumber Alam di sini semalam.
Turut hadir pada sidang media itu ialah Bendahari TEGAS Snowdan Lawan,
Ahli Lembaga TEGAS Johnichal Rayong dan wakil NGO Datuk Patrick Liew.
Mengulas lebih lanjut mengenai SCaT Fair, ia dianjurkan oleh Jabatan
Ketua Menteri dengan kerjasama TEGAS, Angkatan Zaman Mansang (AZAM), Jabatan
Pelajaran Sarawak dan Gerakan Pemuda.
Bertemakan ‘Enhancing Employability,’ SCaT Fair dirancang dengan
meliputi pameran dan ceramah yang menjurus kepada SCORE dan peluang-peluang
pekerjaan.
Antara acara sampingan, Seminar Rakan TEGAS yang terdiri daripada 183
kaunselor dari Sekolah Menengah di seluruh Sarawak, seminar dan aktiviti belia
oleh AZAM dan seminar ekopelancongan oleh Unit Pembangunan Usahawan Bumiputera.
Dalam pada itu, Gerakan Pemuda akan mengadakan aktiviti-aktiviti sosial
dan keusahawanan seperti bengkel fotografi, kraft tangan jualan hasil belia,
membuat kek dan persembahan muaythai.
Bagi memudahkan pengunjung, turut akan disediakan pengangkutan percuma
dari The Spring, hentian bas Jalan Kulas, hentian bas Riverside dan Emart,
Matang ke BCCK setiap satu jam.
SCaT Fair dibuka kepada orang ramai mulai jam 9 pagi hingga 5 petan-Borneo Post
No comments:
Post a Comment